Untuk acara Los Angeles Auto Show tahun ini, Mercedes-AMG telah memperbaharui keseluruhan barisan model GT, dengan termasuk pengenalan satu model baru edisi terhad GT R Pro. Model ini dibina berdasarkan pengalaman syarikat itu menghasilkan AMG GT3 dan AMG GT4, dengan peningkatan pada bahagian suspensi, barang serba ringan, aerodinamik serta penampilan.
Sama seperti GT R biasa, GT R Pro ini didatangkan dengan suspensi jenis coilover yang boleh dilaras untuk pra beban spring, mampatan serta lantunan. Untuk melarasnya, anda tidak perlu membawa peralatan yang banyak kerana boleh dilakukan melalui sistem klik dengan tombol pelarasan pada penyerap itu sendiri.
Untuk pelarasan lain, kedua-dua gandar juga mempunyai torsion bar yang boleh dilaras. Di depan ia dibuat daripada gentian karbon manakala unit belakang adalah daripada besi bulat. Perbezaan lain model ini adalah ia dipasang dengan Uniball spherical bearing pada wishbone gandar belakang, talaan semula pada tapak enjin dan transmisi dinamik serta panel penutup bahagian bawah kenderaan gentian karbon.
Untuk pasaran selain Amerika Syarikat, Canada dan China, GT R Pro akan didatangkan terus dengan Track Package, yang termasuk roll cage besi, tali pinggang lumba four-point dan pemadam api dalam kenderaan. Kereta yang tidak datang dengan Track Package ini akan dipasang dengan kemasan trim gentian karbon dan pendakap but.
Sama juga untuk bahagian brek, Track Package akan memberikan sistem brek seramik berprestasi tinggi dengan angkup yang diwarnakan hitam, serta tempat duduk bucket AMG. Model yang tidak datang dengan Track Package ini hanya menggunakan tempat duduk AMG Performance biasa.
Untuk lebih lagi gaya inspirasi lumba, kereta ini didatangkan terus dengan Carbon Package, dan anda boleh mendapatkan jalur perlumbaan pada badan kenderaan. Di bahagian lain terdapat rim AMG Performance warna kelabu titanium dan corak berpetak di keliling logo R.
Untuk mengetahui perbezaan aerodinamik model ini dengan GT R biasa, anda perlu memerhatikannya dengan rapi. Antaranya adalah pada sirip gentian karbon di penjuru bampar, lip hadapan, keliling roda dan juga di bahagian bawah bampar belakang. Semuanya berfungsi baik untuk aerodinamik dan menjadikan GT R Pro ini berjaya mencatat masa lebih pantas berbanding GT R di Litar Nürburgring.
Selain pengenalan model baru GT R Pro ini, Mercedes-AMG turut memperbaharui barisan model GT yang lain, dan kebanyakan cirinya datang daripada model empat pintu GT 4-Door Coupe lebih baru yang diperkenalkan di Geneva awal tahun ini.
Pada bahagian luar, lampu LED kenderaan ini telah direka semula untuk dimasukkan dengan lampu siang gaya baru, serta sistem pemantul cahaya tiga kelongsong. Lampu belakang pula nampak lebih garang dengan bahagian dalam yang berwarna gelap.
Selain daripada itu, bahagian belakang GT, GT S dan GT C turut mendapat kemasan hitam pada diffuser, dan susun atur muncung ekzos yang baru. Untuk GT biasa, ia menggunakan dua muncung ekzos bulat, sementara GT C menggunakan bentuk dua trapezoid manakala GT R masih mengekalkan muncung di tengah bersama dua lagi yang kecil pada diffuser.
Perubahan kecil lain melibatkan model GT dan GT S, di mana ia diberikan dengan kemasan warna hitam di bahagian bawah pintu, serta rim baru yang juga berwarna hitam. Turut disediakan sebagai pilihan (termasuk untuk GT C) adalah rim dengan rekaan 10 cabang dan berwarna kelabu titanium atau hitam.
Masuk ke dalam, anda akan dapat melihat panel instrumen 12.3 inci yang diambil daripada GT 4-Door Coupe dan skrin infotainmen 10.25 inci baru sama seperti C-Class baru. Untuk interaksi yang lebih baik dengan skrin ini, ia sekarang menggunakan roda stereng prestasi AMG yang baru, diambil daripada C 63, siap dengan Touch Control.
Untuk mereka yang kerap ke litar, anda akan menghargai pengumpul data AMG Track Pace yang sekarang didatangkan standard untuk sistem infotainmen COMAND Online pada semua model GT. Dengannya, anda boleh menganalisa prstasi di litar kerana ia dapat merekod lebih 80 set data spesifik kenderaan dalam masa 10 kali bagi setiap saat dan mencatat masa pusingan.
Walaupun banyak pembaharuan yang diberi, enjin model ini masih sama, iaitu unit V8 4.0 liter biturbo M178. Pada model GT, ia mampu menghasilkan 476 PS dan 630 Nm tork, manakala GT S dan GT C mampu menghasilkan masing-masing 522 PS/670 Nm dan 557 PS/680 Nm tork. GT R dan GT R Pro pula mempunyai kuasa yang sama iaitu 585 PS dan 700 Nm tork. Kesemua model ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT tujuh kelajuan klac berkembar transaxle.
Program AMG Dynamic Select pada model GT masih lagi sama iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport Plus, Race dan Individual, tetapi ia ditambah dengan satu lagi program dipanggil AMG Dynamics. Dengannya, AMG memberitahu ia dapat menguruskan Electronic Stability Programme lebih baik untuk setiap mod yang dipilih (Basic, Advanced, Pro atau Master).
Source: Read Full Article