Nismo hasilkan semula alat ganti untuk Nissan Skyline GT-R R33 dan R34 dalam program Heritage Parts

Tahun lalu Nissan Motorsport International atau Nismo telah melancarkan program Nismo Heritage Parts iaitu program untuk menghasilkan semula alat-alat ganti untuk model-model lagenda berprestasi tinggi Nissan bagi memudahkan pemilik melakukan proses restorasi semula kereta mereka.

Program tersebut dimulakan dengan penghasilan semula komponen-komponen untuk Nissan Skyline GT-R R32, dan atas sambutan yang menggalakkan, Nismo telah mengumumkan bahawa program berkenaan akan diteruskan untuk Skyline GT-R R33 dan R34 pula.

Langkah ini diumumkan pada Nismo Festival yang berlangsung hujung minggu lalu, di mana Nismo turut mempamerkan berberapa contoh komponen dan menyenaraikan kesemua alat ganti yang akan dibuat semula.



Antara komponen yang akan dihasilkan semula untuk R33 dan R34 adalah komponen-komponen untuk bahagian luaran, janakuasa, elektrikal dan pelbagai lagi komponen mekanikal. Nismo turut menambah senarai alat ganti untuk R32 – yang terdiri dari bukan sahaja untuk prestasi pemanduan serta memudahkan pemilik menjalani pemeriksaan penguatkuasa, malah turut menghasilkan semula komponen yang semakin sukar dicari seperti getah pintu dan suis-suis tingkap.

Jumlah keseluruhan alat ganti yang dihasilkan semula ini adalah sebanyak 160 komponen, menjadikan program Heritage Parts Nismo ini sebagai penyedia alat ganti terbesar untuk R32, R33 dan R34 di Jepun.

Program ini dimulakan pada tahun lalu dengan katalog yang menyediakan hampir 80 komponen untuk Skyline GT-R R32. Dengan respon yang begitu positif dari pemilik dan permintaan untuk menambah lagi jumlah alat ganti serta model, maka terhasillah apa yang diumumkan oleh Nismo buat masa sekarang.

Source: Read Full Article