Nissan Maxima facelift 2019 ada lebih ciri keselamatan

Membuat penampilan pertama di LA Auto Show 2018, perincian model sedan empat pintu sport Nissan Maxima facelift 2019 kini didedahkan secara rasmi – kini menerima lebih banyak peningkatan bagi aspek keselamatan.

Wajah depannya didominasi rekaan gril V-motion kemasan krom, diserlahkan juga melalui rekabentuk bampar yang menonjol, dengan lampu kabus. Lampu utama kini LED sepenuhnya. Bahagian belakang pula dihiasi dengan empat hujung ekzos dengan spoiler bagi model SR.

Pilihan rim pula diubah kepada saiz 19-inci Hyper Silver dengan pakej Platinum Reserve. Pilihan warna baru Sunset Drift juga merupakan tambahan terbaru. Selebihnya rekaan bagi Nissan Maxima ini rata-ratanya kekal seperti model terdahulu.

Ruang dalaman pula dipertingkatkan dari aspek bahan yang digunakan serta kemasan yang ada. Papan pemuka, panel pintu, stereng antara yang tampil dengan rupa dan sentuhan lebih premium. Bagi model SR, dalamannya menerima jahitan oren, fabrik “Dynamic Diamond”, Alcantara oren dengan penyudah satin chrome. Sementara itu, pakej Platinum Reserve menerima tambahan material kulit Rakuda Tan, sama seperti model GT-R.

Lain-lain ciri yang melengkapinya termasuk Rear Door Alert (RDA) yang akan mengingatkan anda sekiranya ada potensi tertinggal anak kecil ditempat duduk belakang serta radio satelit SiriusXM dan sistem tunjuk arah Nissan Door to Door.

Nissan Maxima turut ditawarkan dengan bantuan Safety Shield 360, merangkumi ciri seperti Automatic Emergency Braking (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki, amaran titik buta, amaran trafik lintasan belakang, amaran pertukaran lorong, bantuan lampu tinggi dan brek automatik belakang.



Intelligent Driver Alertness (I-DA) kini standard, sementara ciri Intelligent Cruise Control (ICC), High Beam Assist (HBA) dan Traffic Sign Recognition (TSR) turut ditawarkan pada model-model lain.

Maxima dilengkapi enjin 3.5 liter VQ V6 seperti sebelumnya, dengan janaan kuasa 300 hp dan 353 Nm tork. Ini digandingkan dengan transmisi talaan prestasi Nissan Xtronic CVT melalui sistem pacuan roda depan.

Source: Read Full Article