PANDU UJI: Mitsubishi Triton Adventure X 2019 – bukan sekadar muka yang semakin handsome

Tidak seperti 30 tahun dahulu, trak pikap kini merupakan sebuah kenderaan yang bukan sahaja mampu membawa beban berat, lasak, dan mampu meredah pelbagai bentuk muka bumi, malah ia sekarang seolah-olah sebuah SUV, digunakan sebagai kenderaan harian bagi memenuhi gaya hidup walaupun hanya membelah ‘hutan batu’.

Ini adalah Mitsubishi Triton Adventure X 2019, sama ada anda setuju atau tidak, bagi saya ini adalah trak pikap paling handsome dalam pasaran sekarang. Didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Thailand November tahun lalu, pasaran Malaysia tidak perlu menunggu lama bagi menerima Triton ini dengan pelancaran rasminya tidak sampai dua bulan selepas itu.

Sebelum Triton ini diperkenalkan, pemilik-pemilik Triton terdahulu sudahpun memulakan trend bagi menukar muka trak pikap mereka dengan muka Dynamic Shield dari SUV Pajero Sport. Tapi untuk pengetahuan anda, Mitsubishi sebenarnya sudah merancang lama rekaan berkenaan, kerana trak pikap konsep GR-HEV yang muncul pada tahun 2013 sebenarnya adalah bayangan kepada Triton 2019 ini!

Muka Dynamic Shield pada Triton 2019 ini kalau diperhatikan dengan lebih terperinci, ia menampilkan ciri yang berbeza dari Pajero Sport. Model kemaskini ini menerapkan ciri yang lebih moden dan kearah seperti Mitsubishi Xpander dan juga SUV Eclipse Cross.

Garis pada bonet depan kini 100 mm lebih tinggi dari model terdahulu dan varian Adventure X diberikan lampu hadapan bi-LED yang direka nipis dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam. Lampu-lampu berkenaan dihubungkan antara kedua-duanya dengan gril dua bar baharu. Bagi menyerlahkan rupa Dynamic Shield, perumah lampu kabus direka lebih menyerlah bersama kemasan krom yang tebal.

Model Adventure X ini juga menerima bampar hadapan krom bersama lampu kabus, pembuka pintu krom, dan juga cermin sisi kemasan krom bersama sistem kawalan elektrik dan dilengkapi lampu isyarat membelok. “Garisan-J” asli Triton masih lagi kekal pada pintu, namun dengan set rim 18-inci baharu yang dibekalkan memberikan rupa yang lebih segar pada bahagian sisi.

Di belakang, Triton 2019 diberikan lampu yang lebih ‘berpetak’ dan lebih besar dari versi sebelumnya. Namun untuk varian tertinggi ini, ia diberikan lampu belakang LED dan sekiranya anda perhatikan betul-betul, ia direka dengan grafik seperti air meleleh – memberikan rupa luaran yang kini hampir menyerupai model konsep GR-HEV dan juga Pajero Sport.

Satu lagi ciri yang membuatkan bahagian belakang Triton ini lebih istimewa dari trak pikap lain adalah kamera undurnya – diletakkan dalam satu perumah kemasan krom yang kelihatan begitu kemas dan tidak janggal.

Masuk ke kabin, tiada perubahan besar dapat dilihat. Ia masih mengekalkan asas papan pemuka yang sama seperti model sebelum ini. Namun pada bahagian panel instrumen, paparan pelbagai info di tengah kini diberikan skrin TFT berwarna yang bukan sahaja lebih nampak moden, malah ia turut berfungsi bagi memberikan lebih banyak informasi seperti penunjuk pemanduan Eco (dengan markah Eco akan ‘dihadiahkan’ kepada pemandu setiap kali enjin dimatikan), paparan sistem 4WD yang menunjukkan status gandar serta unit differential yang berfungsi dan juga mod pemanduan – perkara ini akan dikupas lebih terperinci selepas ini.

Kabin Triton baharu ini juga direka bagi memberikan lebih keselesaan untuk penumpang belakang. Liang penghawa dingin yang dedikasi untuk bahagian ini telah dipadankan pada bahagian bumbung yang mengitar semula udara dari kabin hadapan menggunakan kipas blower sendiri, dan boleh dikawal dengan empat-kelajuan berbeza. Port USB belakang turut diberikan, lengkap dengan storan untuk meletak telefon pintar ketika ia dicas.

Model tertinggi ini turut menerima kelengkapan lain seperti tempat duduk balutan kulit, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang dan juga tempat duduk pemandu larasan berkuasa. Bagi sistem infotaimen pula, model Adventure X ini menerima skrin sesentuh yang boleh dikawal dengan suara bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Menyentuh berkenaan sistem Android Auto pada Triton ini, secara jujur saya katakan bahawa ia antara yang paling responsif pernah saya gunakan. Sebaik sahaja anda menyambungkan wayar USB, Android Auto tersebut terus boleh digunakan, dan sistem bluetooth pada telefon pintar akan dihidupkan secara automatik. Dengan Android Auto, bukan sahaja anda mudah untuk mendengar muzik dari aplikasi Spotify, malah sistem navigasi waze juga dapat digunakan, yang tentunya lebih mudah digunakan dari GPS konvensional bina dalam.



Mitsubishi Triton 2019 ini masih lagi dijana oleh enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter. Kali ini, kesemua varian dijana oleh enjin MIVEC turbodiesel tersebut, kecuali Triton Quest yang juga masih menggunakan muka lama. Tiada kotak gear manual ditawarkan pada versi Adventure X ini (masih lagi ada pada dua varian lebih rendah), di mana kotak gear automatik enam-kelajuan baharu dipadankan bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II pada model sebelumnya.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi ‘diesel knocking‘ masih boleh didengar masuk ke dalam kabin. Namun setelah ia bergerak dengan kelajuan malar, bunyi berkenaan boleh dikatakan hilang dan anda boleh terlupa bahawa Triton ini dijana oleh enjin diesel.

Kuasa 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm pada enjin berkenaan tidak mempunyai masalah bagi membolehkan trak pikap dengan berat hampir 2 tan ini memecut seperti kereta sedan biasa. Kotak gear baharu yang dibekalkan juga memberikan pembahagian nisbah gear yang lebih baik menerusi tambahan satu lagi gear, tetapi ia masih lagi lambat – terasa jerking ketika menukar gear terutama pada gear rendah, dan ia memberikan respon yang lambat ketika menggunakan pedal penukar gear.

Satu perkara yang saya perasan, Mitsubishi telah menghasilkan kabin Triton baharu ini lebih senyap dari model sebelumnya. Walaupun ia adalah sebuah trak pikap, anda boleh berbual dengan semua penumpang dalam keadaan tenang dan tidak perlu meninggikan suara pada kelajuan sekitar 140 km/j.

Masuk ke jalan berliku, satu benda yang agak mengkagumkan saya adalah kadar olengan badan yang sangat minimum ketika ia mengambil selekoh. Ditambah dengan talaan stereng yang agak laju, pengendalian Triton 2019 adalah hampir seperti kereta walaupun ia direka sangat tinggi. Namun perlu diingat, ia masih sebuah trak pikap, dan anda tidak sepatutnya memandu kenderaan sebegini seperti kereta bagi mengurangkan risiko untuk berlaku perkara yang tidak diingini.

Selain dari pantas, stereng Triton ini juga menawarkan radius pusingan 5.9 meter – terbaik dalam kelasnya, membolehkan anda membuat pusingan-U dengan mudah walaupun trak ini bersaiz besar.

Namun ketika memandu diatas permukaan jalan raya tar yang tidak rata, pantulan badan Triton ini agak jelas terasa seolah-olah memandu kereta dengan suspensi boleh laras. Tidak hairanlah, kerana suspensi tersebut memang direka bagi memberikan kestabilan ketika mengambil selekoh dan ia juga direka bagi membawa beban yang berat, yang mana terpaksa sedikit berkompromi dengan keselesaan.

Walau bagaimanapun, suspensi ini berfungsi seakan magik pada laluan off-road. Dengan melalui laluan dengan permukaan jalan tanah, suspensi berkenaan mampu menyerap hentakan dengan sangat baik dan selesa. Malah dengan kabin yang sangat senyap, memberikan anda keyakinan yang sangat tinggi untuk menghadapi apa jua halangan pada laluan lasak.



Satu lagi senjata Triton 2019 pada jalan sebegini tentulah sistem pacuan empat roda Super-Select 4WD II bersama Easy-Select 4WD. Pada saya, sistem yang ditawarkan oleh Mitsubishi ini adalah yang paling ‘jantan’ berbanding lawan-lawan terdekatnya. Ia terdiri dari unit Viscous Coupling dan juga differential tengah bagi menghantar tork ke gandar hadapan, dan juga diff locker pada gandar belakang – tiada gimik torque vectoring yang dihasilkan dari sistem ABS.

Sistem ini juga mempunyai empat mod pacuan iaitu 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc yang boleh dioperasikan hanya menggunakan suis putar yang diletakkan disebelah tuil brek tangan. Untuk pemanduan biasa, sistem pacuan Triton ini akan beropersi dengan mod 2H, iaitu mod untuk pacuan belakang biasa bagi meminimakan penggunaan bahan api.

Dari pacuan roda belakang, ia boleh bertukar ke pada mod pacuan empat roda sepenuh masa dengan hanya memutarkan suis dari 2H ke 4H, dan ia boleh dilakukan dalam keadaan Triton tersebut sedang bergerak pada kelajuan di bawah 100 km/j serta pedal pendikit tidak ditekan. Mod ini akan memberikan anda traction tambahan dengan pembahagian tork sekitar 33 peratus ke gandar hadapan dan 67 peratus ke gandar belakang.

Mod 4H ini sebenarnya bukan sahaja sesuai untuk anda gunakan ketika memandu dipermukaan off-road, malah sebenarnya sesuai juga digunakan ketika hari hujan pada jalan tar bagi memberikan cengkaman dan kawalan lebih baik.



Jadi apa pula tugas 4HLc? Dengan memutarkan suis ke mod ini, kuasa ke roda hadapan tidak lagi dihantar menggunakan Viscous Coupling, tetapi unit differential tengah dikunci sepenuhnya bagi mengagihkan tork 50 peratus kehadapan dan 50 ke gandar belakang, walau apa pun berlaku. Mod ini bukan lagi difokuskan untuk mengambil selekoh tetapi bagi memberikan cengkaman semaksimum mungkin terhadap permukaan bumi.

Sekiranya cengkaman yang diperlukan tidak juga dapat diberikan dek kerana permukaan jalan yang terlalu licin, dan boleh beralih ke Mod 4LLc. Dengan mod ini, sistem 4WD masih berfungsi seperti 4HLc, namun kuasa dari kotak gear dipindahkan ke gear rendah bagi membolehkan ia ‘merangkak’ dengan lebih ringan.

Diff locker pada gandar belakang pula membolehkan kedua-dua belah roda di kunci bagi mengalirkan tork 50:50 dalam apa juga keadaan, membolehkan cengkaman sepenuhnya dialirkan ke permukaan tanah, dan memastikan roda sebelah masih lagi mampu menggerakkan trak pikap ini walaupun roda sebelah lagi tidak jejak ke tanah.

Saya berkesempatan untuk memandu Triton ini di dalam satu kolam lumpur. Kebiasaanya, dalam keadaan tersebut, sesebuah trak pikap memerlukan tayar dari jenis Mud Terrain (MT) dengan blok bunga yang lebih besar yang akan bertindak seperti kaki lipan bagi mengais permukaan lumpur tersebut.


Tetapi Triton ini hanya menggunakan tayar All-Terrain (AT) yang khusus untuk penggunaan jalan tar, boleh bergerak di atas permukaan lumpur sedemikian dengan keadaan yang sangat selamba menggunakan mod 4LLc ini – memang sangat menakjubkan, dan saya terbayang bagaimana pula prestasinya di hutan kalau badannya ditinggikan, diberikan set suspensi off-road sebenar, dan juga tayar lipan hardcore.

Sebenarnya dalam mod 4HLc, anda turut boleh menggunakan tiga mod pemanduan off-road iaitu Gravel, Mud/Snow dan Sand. Dalam mod 4LLc pula, tiga mod pemanduan ini masih dapat digunakan, dan ia ditambah dengan satu lagi mod iaitu Rock. Dengan mod pemanduan ini, karekter transmisi, sistem 4WD dan juga brek ABS akan ditala semula bagi memastikan kuasa dihantar dengan jumlah yang paling optimum mengikut permukaan-permukaan jalan yang berbeza-beza tersebut.

Kawalan Menurun Bukit juga dilengkapkan pada Triton ini membolehkan anda menurun bukit yang ekstrem seperti permukaan tanah yang licin, terlalu curam atau berbatu dengan sangat mudah – anda hanya perlu mengawal roda stereng, manakala kaki tidak perlu memijak pedal brek atau pendikit di mana ia akan dikawal sepenuhnya oleh komputer.



Triton 2019 juga menampilkan sistem keselamatan antara yang tertinggi dalam kelasnya, malah ada yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan pada sedan-sedan segmen-C dan -D. Sebagai varian tertinggi, Adventure X menerima keseluruhan sistem keselamatan tersebut yang terdiri dari Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan juga tujuh beg udara SRS (model lain lebih rendah hanya menerima dua-beg udara).

Ia juga dilengkapkan dengan Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS) yang berfungsi untuk mengelakkan kemalangan yang berlaku kerana pemandu yang menekan pedal secara tidak betul semasa mula bergerak atau mengundur pada ruang sempit – lebih kurang dengan sistem Pedal Misoperation Control (PMC) pada Perodua Myvi generasi baharu.

Bagi saya, kenderaan adalah ibarat kanvas yang dicorak oleh jurutera. Segala hasil akhir sesebuah model itu adalah karya seni yang akan diterjemahkan sendiri oleh pemandu. Karya yang penuh dengan maksud, akan memudahkan pemandu bagi menafsir apa yang disampaikan oleh jurutera.

Untuk Mitsubishi Triton Adventure X 2019 ini, ia bukan sekadar sebuah model yang sangat kacak, malah saya dapat rasakan dengan jelas bahawa para jurutera Mitsubishi berusaha keras bagi memastikan keseimbangannya sebagai sebuah trak pikap yang boleh digunakan sebagai kenderaan harian hampir sama seperti kereta, dalam masa yang sama turut menawarkan sebuah kenderaan dengan prestasi off-road antara yang terbaik dalam kelasnya.

Model varian tertinggi ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM135,200. Manakala untuk varian lain, Model asas Triton MT dijual pada harga RM100,200, Triton AT RM105,990, Triton MT Premium RM112,500 dan Triton AT Premium pula RM118,600. Empat warna badan ditawarkan iaitu White Diamond, Jet Black Mica (hanya untuk Adventure-X), Sterling Silver (hanya untuk versi asas AT dan MT) dan Graphite Grey Metallic (hanya untuk varian Premium AT dan MT).

Apa lagi kelengkapan dan perbezaan Triton ini dengan varian lain yang lebih rendah? Anda boleh bacanya pada PAUTAN INI, atau pada laman Carbase.my.

Source: Read Full Article