Pemandu teksi, perkhidmatan e-hailing wajib daftar SOCSO bermula 1 Nov – caruman dari RM157 setahun

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menegaskan, semua pemandu teksi dan juga pemandu perkhidmatan e-hailing lainnya wajib mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Bekerja Sendiri di bawah Persatuan Keselamatan Sosial (SOCSO) bermula 1 November ini.

Skim yang mula diperkenalkan pada 1 Jun 2017 menyaksikan masih ramai lagi pemandu-pemandu yang belum berbuat demikian. Kulasegaran berkata, SOCSO dan Kementerian Pengangkutan telah berbingcang tentang langkah yang akan diambil sekiranya para pemandu teksi dan e-hailing gagal untuk berbuat demikian, lapor Bernama.

“Ketika ini, kami dalam proses untuk mendapatkan kebenaran dari Kementerian Pengangkutan berkaitan kaedah untuk melaksanakan perkara ini. Satu daripadanya ialah pemandu perlu menunjukkan bukti bahawa mereka sudah berdaftar dengan SOCSO sebelum lesen mereka boleh diperbaharui.

“Kami sedang mempertimbangkan kaedah-kaedah yang wajar dan dalam masa yang sama mengadakan perbincangan dengan persatuan teksi dan pemandu e-hailing sebelum Kementerian Pengangkutan membuat pengumuman rasmi,” jelas beliau.

Setakat ini, daripada kira-kira 100,000 pemandu teksi dan e-hailing, hanya 5,197 sahaja yang telah membuat potongan untuk skim berkenaan. “Matlamat kami bukanlah untuk menghukum dan berharap ia tidak perlu sampai ke tahap itu. Harapnya pemandu-pemandu akan memberikan kerjasama dan membuat sumbangan atau potongan untuk skim berkenaan, untuk kepentingan mereka sendiri juga,” tambah Kulasegaran.

Sementara itu, CEO SOCSO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyatakan, bayaran minimum untuk skim berkenaan ialah RM157.20 manakala kadar maksimum pula ialah RM592.80 bagi tempoh setahun. “Sekiranya berlaku sebarang kejadian, pencarum berpeluang untuk menerima manfaat bergantung kepada skala sumbangan mereka sendiri,” tambah beliau.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article