Pengusaha bas ekspress mahu kerajaan luluskan kenaikkan tambang 30% sepanjang Aidilfitri tahun ini

Persatuan Pengusaha Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) berharap kerajaan akan meluluskan permohonan mereka bagi menaikkan tambang sebanyak 30% ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, lapor NST Online.

Menurut pengerusi sementara persatuan berkenaan, Tajudin Mohamad Yunus, pengusaha bas ekspress kini menanggung kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan kerana kadar tambang yang digunakan adalah kekal sejak 11 tahun lalu.

“Kadar tambang adalah berdasarkan carta perbelanjaan yang dibuat pada 2008. Sejak itu, banyak perkara yang telah berubah dan harga banyak benda serta servis telah meningkat, kecuali tambang bas,” kata Tajudin dan menambah terdapat bas dari syarikat-syarikat pengusaha yang telah ditarik balik oleh pihak bank setelah gagal melunaskan bayaran pinjaman.

Menurutnya lagi, ini tidak termasuk perbelanjaan lain yang turut meningkat contohnya harga bahan api yang telah naik lebih dari 50% dalam berberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami faham bahawa servis kami adalah berorentasikan orang ramai, tetapi ia perlu realistik selari dengan ekonomi dan perbelanjaan pada hari ini. Kami tidak mahu membebankan mana-mana pihak tetapi cuma berharap pengusaha basa ekspress akan diberikan pertimbangan terhadap perkara ini,” jelasnya.

Sebanyak 18 syarikat bas ekspress bersetuju dengan apa yang diketengahkan oleh Tajudin berkenaan, termasuk Cepat Express, Edaran Express, Konsortium Eltabina, Maharani, Cekap dan Sani Express. Pembawa telah menghantar surat permohonan tersebut kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke, namun masih belum menerima sebarang jawapan.

Tajudin turut memberitahu bahawa situasi ini menjadi bertambah buruk dengan pengumuman gaji minima terkini. “Jika anda lihat berberapa tahun kebelakangan ini, anda akan perasan bahawa banyak syarikat bas yang mencatatkan kerugian tahunan, bagi mengatasinya ada yang terpaksa memberhentikan pemandu,” katanya.

Pada November tahun lalu, perkara ini telah pun disebutkan oleh timbalan menteri pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar. Kenaikan sebanyak 10% hingga 30% berkenaan sedang dipertimbangkan oleh jemaah menteri, kata Datuk Kamarudin ketika menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) dalam Dewan Rakyat.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article