Suzuki Swift Sport Katana cuma ada 30 unit sahaja

Ini model edisi istimewa yang diberi nama Suzuki Swift Sport Katana – sempena nama motosikal ikonik keluaran jenama itu yang muncul semula menemui peminatnya tahun lalu. Macam mana dengan penampilannya, nampak menyerlah? Fakta lain mengenainya juga tak kalah menarik.

Tetapi, model edisi istimewa ini hanya ditawarkan untuk pasaran Belanda sahaja, dengan harga bermula 28,999 Euro (RM134,707). Kedua, cuma ada 30 unit yang dikeluarkan; terbahagi sama banyak antara dua pilihan warna yang ditawarkan, iaitu Premium Silver Metallic dan Super Black Pearl.

Dekorasi kemasan yang terlibat antaranya ialah jalur pada bonetnya, grafik pada pintu dan simbol Katana dengan visual gentian karbon bagi lip bampar depan dan kit sisi badan. Tidak lupa juga ada nombor siri yang tertera pada bahagian tiang C.

Kemasan luaran lainnya juga menampilkan perincian merah, perumah cermin warna hitam, serta penggunaan rim aloi Allegerita hitam dalam saiz 18-inci buatan OZ (dengan tayar Michelin Pilot Sport 4) ditawarkan sebagai naik taraf pilihan bagi rim 17-inci standard.

Di dalam, Suzuki Swift Sport Katana ini menggunakan stereng yang lebih tebal dengan lambang Katana, tempat duduk separa kulit dengan tulisan Katana serta nombor siri yang disulam padanya serta lebih banyak lambang Katana yang dapat dilihat.

Daya penggerak pula digalas oleh enjin K14C 1.4 liter turbocas empat-silinder dengan 140 PS pada 5,500 rpm dan 230 Nm tork dari 2,500 rpm hingga 3,500 rpm. Ia digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan dengan presatasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat, manakala laju maksimum 210 km/j.

Ekzos pula menggunakan sistem yang dibangunkan oleh Remus, diperbuat daripada besi ringan tahan karat dengan hujungnya diberi kemasan hitam krom. Untuk memberikan kendalian pemanduan yang lebih jitu, unit ini juga dilengkapi dengan palang strut depan Cusco Power Brace serta suspensi sport HKS Hipermax MAX IV GT yang boleh dilaras ketinggian dan tahap serapan hentakannya.

Source: Read Full Article