Perodua Aruz dapat lima bintang dalam ASEAN NCAP

Seperti yang boleh dilihat dalam risalah jualan, SUV Perodua Aruz yang baru dilancarkan telah diberi markah penuh lima bintang oleh ASEAN NCAP dalam ujian keselamatan perlanggaran yang telah dibuat. Walaupun begitu, kami ingin memberitahu, kenderaan sebenar yang diuji adalah Toyota Rush 1.5 G (spesifikasi Indonesia) dan terdapat sedikit perbezaan dalam keputusannya.

Sebagai permulaan, untuk perlindungan penumpang dewasa, Aruz dan Rush mendapat markah yang sama iaitu 43.25 (berdasarkan protokol ujian terbaru 2017-2020). Dalam simulasi impak perlanggaran hadapan dan tepi, kepala patung yang digunakan mendapat markah penuh dengan perlindungan yang baik, tetapi untuk keadaan sebenar, masih terdapat kemungkinan kecederaan pada bahagian dada dan kaki. Ini sebenarnya adalah biasa.

Untuk perlindungan penumpang kanak-kanak pula, Aruz mencatat markah 21.01, dan ini adalah kurang sedikit daripada Rush yang mencatat 21.33 markah. Menurut laporan ujian tersebut, satu-satunya perbezaan antara dua model dalam ujian ini adalah kesesuaian sistem kekangan kanak-kanak (mengikut jenama barang) di tempat duduk baris kedua. Dua tempat duduk yang digunakan iaitu Combi Malgott dan Britax KidFix XP gagal dalam ujian perlanggaran ini.


Dalam penilaian sistem bantuan keselamatan, Aruz mencatat markah yang baik, iaitu 22.22 mata dan ini adalah lebih tinggi berbanding 19.44 mata yang dicatat oleh Rush. Penyebab utamanya adalah Advanced Driver Assist System (ASA 2.0) yang ada pada Aruz. Walaubagaimanapun, Rush yang digunakan dalam ujian itu adalah model pasaran Indonesia, yang tidak mempunyai Pre-Collision System (sama seperti ASA 2.0). Jika ada, pasti markahnya akan jadi sama.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh ASEAN NCAP ada tertulis: “SUV Perodua baru menggunakan asas model Toyota Rush, di mana ia telah menerima keputusan ASEAN NCAP pada bulan Mei 2018. Disebabkan itu, dengan menggunakan dokumen yang disediakan oleh Perodua, ASEAN NCAP telah memanjangkan status Toyota Rush kepada Perodua Aruz.”

“Dalam pecahan markah yang dicatat, kebanyakan markah yang telah diperolehi oleh Rush, diberi kepada SUV Perodua, kecuali dua bahagian penilaian iaitu sistem kekangan kanak-kanak dengan 8.19 mata dan Advanced Safety Assist Technologies dengan 2.00 mata. Perodua Aruz mempunyai spesifikasi yang sama seperti Toyota Rush termasuk enam beg udara, Electronic Stability Control, Sistem Peringatan Tali Pinggang untuk tempat duduk depan dan belakang, Isofix serta tali pinggang dengan tapak di atas (top tether).

“Sebagai tambahan, SUV Perodua juga boleh didapati dengan Autonomous Emergencency Braking dan Forward Collision Warning. Dengan markah keseluruhan 86.49 mata, Perodua Aruz layak untuk mendapat lima bintang dalam ASEAN NCAP.”

Anda juga boleh membaca pelbagai lagi informasi berkenaan Perodua Aruz melalui pautan di bawah:

  • Perodua Aruz 2019 – senarai perbandingan spesifikasi penuh
  • Perodua Aruz 2019 – perbandingan dengan pesaing dalam segmen sama di Malaysia
  • Perodua Aruz 2019 – Perincian aksesori GearUp
  • Perodua Aruz 2019 – perincian ciri ASA 2.0
  • Perodua Aruz 2019 – 2,200 tempahan sejak Jan 3

Source: Read Full Article