Prolintas umum ada laluan di AKLEH ditutup mulai 23 Mac-7 April untuk pembinaan Jambatan Saloma

Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (PROLintas), syarikat konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), telah mengumumkan terdapat beberapa laluan di lebuhraya berkenaan akan ditutup secara berperingkat bermula esok (23 Mac) sehingga 7 April ini. Ia adalah bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan penghubung Saloma oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Menurut Prolintas, penutupan sementara akan dilaksanakan di lorong, laluan masuk dan laluan keluar yang ditentukan di lebuh raya itu. Di KM1.1 menghala Kuala Lumpur, penutupan sehingga 29 Mac ini melibatkan lorong laju dan trafik akan dihalakan ke lorong kiri. Pada 29-30 Mac pula, laluan KM1.1 menghala Ampang, lorong kiri dan lorong tengah akan ditutup, sementara trafik akan dilencongkan ke lorong kanan.

Pada 30 Mac pula, penutupan selama sejam dari jam 2 pagi akan dilakukan di KM1.1 juga menghala ke Ampang, dan trafik akan dilencongkan ke Jalan Ampang. Manakala laluan menuju dari/ke Persimpangan Jalan Sultan Ismail, lorong laju dan lorong tengah menghala ke Kuala Lumpur akan ditutup selama sejam bermula jam 3 pagi pada 30 Mac. Justeru, trafik menuju ke Ampang akan dilencongkan ke Jalan Raja Abdullah. Sementara trafik menuju ke Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Jalan Ampang.

Juga pada 30 Mac, penutupan selama sejam melibatkan lorong laju/tengah di KM1.1 menuju ke Kuala Lumpur, dan hanya lorong kiri sahaja dibuka untuk trafik. Kemudian pada hari yang sama, penutupan sepenuhnya melibatkan laluan KM1.1 arah Kuala Lumpur dari jam 6 pagi hingga 8 malam. Laluan kontra akan dibuka di Ampang untuk ke Kuala Lumpur.

Manakala dari jam 10 malam pada 30 Mac hingga 10 malam, 5 April, laluan KM1.1 arah Ampang akan menutup lorong laju sepenuhnya, dan trafik hanya dibuka di lorong kiri. Sehubungan itu, AKLEH menasihati pengguna agar berhati-hati dan mematuhi papan tanda arahan trafik bagi perjalanan yang lancar.

Untuk info lanjut, para pengguna boleh menghubungi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu di talian 03-26926733, 03-26935733 atau talian bebas tol AKLEH 1-300-88-10 atau ikuti Twitter di @AKLEHtrafik atau laman web www.prolintas.com.my.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article