Proton Iriz facelift 2019 terdedah diuji oleh Tun M

Kalau anda masih ingat, Proton Iriz antara projek terakhir Proton ketika dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamed, dan beliau dilihat memandu kereta berkenaan 10 hari sebelum dilancarkan – ketika itu nama Iriz masih belum rasmi, hanya dikenali sebagai Proton Compact Car (PCC).

Kini terdedah pula Iriz versi facelift 2019 dalam sebuah video di akaun youtube Tun sendiri, Chedet Official, yang memaparkan Perdana Menteri itu menguji hatchback segmen-B yang disegarkan berkenaan.

Tiada sebarang pelekat penyamaran seperti gambar dan video spyshot sebelum ini, membolehkan kita melihat dengan jelas rupa Iriz facelift berkenaan. Iriz nampaknya menerima muka baharu yang dihasilkan dari lampu hadapan lebih tirus diambil dari Persona, bersama gril baharu yang mempunyai jalur krom berbentuk sayap dan bersambung dengan kemasan jalur di atas lampu.


Bampar hadapan turut dirombak semula dengan rekaan ‘mulut’ bahagian bawah lebih kecil, tetapi diberikan kemasan perumah lampu kabus LED yang lebih menonjol. Bahagian sisi pula menampilkan perubahan ringkas menerusi pemadanan set rim baharu dan juga antena sirip yu menggantikan antena konvensional pada bumbung.

Namun di belakang, Iriz menerima perbezaan yang memudahkan kita kenal mana model lama dan mana model lebih baharu. Versi 2019 ini diberikan kemasan tambahan berwarna hitam yang turut menempatkan perkataan ‘PROTON’ dengan gaya seperti SUV X70. Grafik lampu belakang juga direka semula dan ia nampak seperti lebih kurus dari model sebelumnya.

Bukan itu sahaja, bampar belakang turut ditukar, kali ini menampilkan bahagian kelihatan seperti diffuser yang lebih menyerlah, bersama sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi.

Tetapi agak sukar untuk melihat perubahan bahagian dalaman menerusi video berdurasi 50 saat ini. Apa yang kami boleh ‘tangkap’ adalah skrin sesentuh infotainmen lebih besar, serta tuil penukar gear yang diinspirasikan juga dari abang besar Proton X70.

Source: Read Full Article