Proton Iriz R5 sedia untuk rali antarabangsa!

Akhirnya, Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah mengumumkan bahawa jentera R5 binaan mereka yang diasaskan dari Proton Iriz kini sudah lengkap menjalani proses homologasi FIA. Ini bermakna, Iriz R5 sudah pun boleh digunakan pada mana-mana kejohanan rali antarabangsa seliaan FIA, termasuk pusingan-pusingan Kejuaraan Rali Dunia (WRC)!

Jentera rali ini membuat kemunculan sulungnya pada Goodwood Festival of Speed 2017, dan proses kelulusan homolagasi tersebut nampaknya mengambil masa yang cukup lama di mana peringkat akhirnya adalah pada Disember tahun lalu.

“Kami adalah pasukan kecil dan homologasi telah mengambil masa yang lebih lama dari apa yang kami harapkan, tetapi kami telah membuat pelbagai perubahan dan peningkatan seiring dengan tempoh tersebut dan ia dalam keadaan agak baik sekarang, ia adalah kereta yang sangat hebat,” kata prinsipal pasukan MEM, Chris Mellors.

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.


Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

Dalam proses homologasi berkenaan, MEM bukan sekadar melakukan ujian persendirian pada Iriz R5 ini. Jentera berkenaan turut muncul dalam rali-rali domestik sekitar UK dan telah mencatatkan berberapa kejayaan, antaranya menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed 2017, mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally 2017, juara di Grizedale Stages Rally 2017 dan mempertahankan takhtanya sebagai juara Rally Stage Goodwood FOS 2018.

Kesemua ujian dan perlumbaan yang disertai oleh Iriz R5 dipandu sendiri oleh anak Chris Mellors iaitu Oliver Mellors. Selain Ollie, Iriz R5 juga pernah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

Disember tahun lalu juga MEM telah mengumumkan bahawa mereka telah menyiapkan sebuah Iriz R5 dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan mendakwa ia adalah untuk pelanggannya. Namun sehingga kini identiti ‘pelanggan’ tersebut masih lagi menjadi tanda tanya – adakah ia di bawa ke Asia Tenggara?

Source: Read Full Article