Proton jual 4,820 unit kereta pada Nov '18, naik 10.2%

Dua bulan berturut-turut Proton telah mencatatkan rekod jualan yang memberangsangkan dengan 4,820 unit kereta terjual pada November 2018, walau bagaimana pun kurang 273 unit berbanding 5,093 unit pada Oktober lalu. Rekod jualan pada November 2018 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 10.2% jika mengikut pegangan pasaran pada peratusan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV), walau bagaimana angka ini hanya akan disahkan selepas data jualan industri dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Menurut Proton, strategi mengekalkan harga yang menarik pada bulan November serta dasar harga tanpa SST di mana yyarikat akan menyerap jumlah cukai untuk kesemua modelnya antara faktor yang menyumbang peningkatan jualan ini. Selain promosi yng menarik dan sokongan daripada para pelanggan.

“Proton meneruskan dasar harga tanpa SST untuk semua model semasa bagi memudahkan pelanggan memiliki kereta Proton. Kami turut membawa jenama syarikat untuk lebih mudah didekati dengan menyertai aktiviti-aktiviti seperti siri jelajah dan karnival, sekaligus menyediakan lebih banyak saluran untuk melihat, menguji dan membeli kereta Proton.

“Akan tetapi, pada bulan November juga terdapat kekangan sumber yang telah mengehadkan bilangan kereta yang dapat kami hasilkan. Justeru, dengan peningkatan jualan keseluruhan kami berbanding bulan yang sama pada tahun 2017, syarikat ingin memohon maaf kepada semua pengedar kerana tidak dapat memenuhi komitmen kami,” ujar Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.


Untuk meraikan kemenangan S1K 2018 baru-baru ini, sepanjang Disember 2018, Proton menganjurkan promosi “Rebat Juara” dengan menawarkan rebat sehingga RM3,000 untuk empat buah modelnya iaitu Proton Ertiga, Iriz, Persona dan Saga.

“Kemenangan Proton dalam S1K 2018 menggunakan Proton Iriz membuktikan kelajuan dan pengendalian yang ada dalam setiap model Proton. Ia turut mempamerkan kebolehan kereta kami di mana pemenang perlu mengharungi 1,000 km pemanduan yang sukar dalam situasi perlumbaan. Proton percaya akan nilai sukan permotoran yang memberi manfaat kepada jenama dan produk jadi kami akan terus mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan di masa hadapan bersama pasukan R3 Proton,” tambah Rashid lagi.

Dalam penganjuran Kuala Lumpur International Motorshow 2018 (KLIM18) baru-baru ini, Proton juga telah mengumumkan bakal melancarkan model SUV yang dinanti-nanti, Proton X70 pada 12 Disember ini. Malah turut mengumumkan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP yang dicapai oleh X70 dalam pusingan ujian dan pengkelasan EEV yang dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam perkara lain, Rashid turut memaklumkan sepanjang Disember ini hingga akhir Februari 2019, Proton juga menawarkan pemeriksaan keselamatan 18-mata percuma untuk semua modelnya di pusat servis yang diiktiraf. Promosi telah bermula pada 4 Disember dan diteruskan sehingga akhir bulan Februari 2019 untuk merangkumi hari terakhir cuti sekolah, perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina.

Source: Read Full Article