Berikutan pengumuman panggilan semula yang dikeluarkan oleh Honda Motor Company mengenai inflator beg udara penumpang bagi model Honda Accord sebelum ini, Proton mengumumkan panggilan semula bagi tujuan servis baik pulih yang akan dilakukan untuk menggantikan inflator beg udara penumpang semua model Proton Perdana terkini.
Ini merupakan satu langkah berjaga-jaga kerana Perdana merupakan model asal Honda Accord dan melibatkan kereta-kereta yang dikeluarkan dari tahun 2012 sehingga akhir Ogos 2018. Notis mengenai isu ini akan dihantar kepada semua pemilik.
Panggilan semula ini bagaimanapun tidak akan melibatkan mana-mana model Proton yang lain kerana beg udara yang digunakan adalah daripada pembekal berbeza.
“Semua pemilik Proton Perdana akan dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka dinasihatkan menghubungi talian khidmat pelanggan Proton untuk membuat temu janji penggantian beg udara penumpang pada kereta mereka. Kereta yang dikeluarkan selepas 31 Ogos 2018 tidak terlibat,” memetik kenyataan rasmi Proton.
Jumlah Proton Perdana yang terjejas adalah sebanyak 6,432 unit. Pertukaran inflator berkenaan pula hanya akan mengambil masa kurang daripada satu jam, dan akan dilakukan secara percuma. Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi talian khidmat pelanggan Proton di 1-800-888-398 atau e-mel [email protected] sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan bantuan.
Source: Read Full Article