RON92 tidak akan dikembalikan di pasaran bagi jaga alam sekitar, kena ikut ketetapan NAP – KPDNHEP

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan tidak akan mengembalikan penjualan petrol RON92 kerana kandungan sulfur yang tinggi dalam bahan api itu boleh mencemarkan alam sekitar.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata walaupun terdapat banyak cadangan agar bahan api itu kembali dijual di pasaran untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat, kerajaan tidak dapat menimbangkannya kerana turut terikat dengan protokol antarabangsa.

“Yang membezakan RON92, 95 dan 97 ialah kadar kandungan sulfur. Lebih kurang kandungan sulfur makin kurang pencemaran alam sekitar namun harganya lebih mahal. Tetapi sebagai sebuah negara yang terikat dengan protokol antarabangsa (berkenaan alam sekitar), kita dikehendaki mematuhi jadual untuk bergerak ke arah penggunaan bahan api yang kurang kandungan sulfurnya,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Negara semalam.

Sehubungan itu kata Saifuddin, dasar kerajaan buat masa ini ialah mengekalkan penggunaan RON95 dan RON97.

Menurutnya, faktor lain ialah perkembangan industi automotif dengan enjin kenderaan direka bergerak dengan minyak berkualiti tinggi. Malah ia juga sejajar dengan Dasar Automotif Negara (NAP) iaitu enjin kenderaan hendaklah ditetapkan sekurang-kuranya menggunakan bahan api RON95.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article