SPYSHOT: MINI JCW GP 2020 – tampil rupa buas

Awal minggu ini, MINI telah mengumumkan bahawa versi paling berkuasa untuk generasi F56 – John Cooper Works GP – bakal membuat kemunculan pada tahun hadapan. Macam mana rupa model berkenaan? Nampaknya jurugambar intipan kami berjaya mendapatkan imej MINI JCW GP tersebut.

Model produksi ini nampaknya menerapkan banyak ciri dari model konsepnya yang muncul di Frankfurt Motorshow 2017. Berbanding MINI standard, JCW GP ini hadir dengan badan lebih lebar, tayar dan rim lebih besar serta spoiler belakang juga jauh lebih besar. Bampar hadapan turut menerima spoiler lebih menyerlah, manakala dibelakang dipadankan dengan tip ekzos berkembar lebih besar.\

MINI mengesahkan bahawa model ini akan bernafas dengan kuasa lebih dari 300 hp, tetapi tidak memberikan perincian lebih lanjut. Berkemungkinan enjin B48 2.0 liter turbo masih lagi menghuni perut kereta ini, tetapi ditala semula seperti unit yang sama pada BMW X2 M35i yang menjana 306 hp/450 Nm.

Model ini juga berkemungkinan turut tidak mempunyai tempat duduk belakang seperti JCW GP generasi sebelum ini bagi mengurangkan beratnya. Ia juga sah akan dihasilkan terhad 3,000 unit berbanding hanya 2,000 unit untuk model sebelumnya.

Source: Read Full Article