Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan menggunakan data Bantuan Sara Hidup (BSH), iaitu data isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebagai data asas untuk mereka yang layak menerima subsidi petrol bersasar.
Katanya, pada masa ini sebanyak 90% penerima BSH yang layak menerima subsidi petrol bersasar menerima bantuan secara terus ke dalam akaun mereka. Manakala baki 10% lagi yang kebanyakannya berada di kawasan pendalaman pula akan dibantu untuk dibukakan akaun bank.
“Dengan cara itu, kalau kita laksanakan subsidi petrol bersasar, kita masukkan terus ke dalam akaun penerima, jadi pada hari pelaksanaan subsidi bersasar itu, harga di pam tetap sama.
“Saya yang layak dapat subsidi membayar RM2.08 (RON95) contohnya pada harga itu, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun bayar RM2.08 tetapi Bera tidak layak dapat subsidi, jadi kerajaan akan bank in ke dalam akaun saya sebagai rakyat yang layak menerima subsidi. Jadi, itu satu alternatif,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Ismail Sabri mengenai kaedah pelaksanaan pemberian subsidi petrol bersasar termasuk sama ada menggunakan kupon atau kad.
Tambahnya lagi, pihaknya juga melihat penggunaan kad sebagai satu pengenalan penerima yang sekali gus membolehkan kerajaan mengkaji corak perbelanjaan pengguna. Maklumat itu akan turut digunakan sebagai asas pelaksanaan subsidi bersasar untuk barangan pengguna yang lain pada masa hadapan.
Saifuddin turut berkata Kementerian Kewangan telah muktamadkan pemilihan satu vendor bagi membangunkan sistem pelaksanaan program subsidi berkenaan.
Subsidi petrol bersasar itu adalah antara langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2019 bagi mengurangkan kos sara hidup untuk isi rumah B40 yang menerima pendapatan bulanan di bawah RM3,860.
Related Cars for Sale on
Source: Read Full Article