Umum mengetahui bahawa kereta-kereta elektrik buatan Tesla yang mempunyai tork yang begitu besar bermula dari rpm sifar membolehkan model-model berkenaan beraksi dengan begitu baik dalam perlumbaan drag, walaupun tanpa apa-apa pengubahsuaian. Kini bagi memberikan pemilik berseronok dengan Tesla Model 3 mereka bukan hanya laluan lurus, Tesla telah pun memperkenalkan kemaskini perisian yang memberikan mod litar (Track Mode) untuk varian Performance model tersebut.
Menurut Tesla, mod baharu tersebut akan menggunakan kelebihan sistem dua-motor sedia ada pada Model 3 Performance. Menerusi Track Mode berkenaan, pembahagian tork antara gandar hadapan dan belakang akan ditala semula bagi memastikan kereta tersebut dapat dipandu dengan lebih mudah ketika di dalam litar perlumbaan.
Apabila Track Mode ini dipilih, sistem mampu untuk mengarahkan 100% tork hanya dialirkan pada gandar belakang. Jika kereta ini tidak mampu untuk masuk ke selekoh dengan tajam, sistem berkenaan akan memberikan lebih tork kebelakang, manakala sekiranya bahagian belakang mula membuang ketika selekoh, tork akan diberikan lebih pada gandar hadapan.
Tesla turut memperkenalkan sistem kawalan dinamik Vehicle Dynamics Controller dengan Track Mode berkenaan. Sistem ini akan berfungsi untuk menstabilkan dinamik pengendalian yang terganggu akibat perubahan berterusan agihan tork antara motor hadapan dan belakang, yang tidak dapat dibuat oleh sistem kawalan kestabilan tradisional.
Kesan ‘engine braking’ pada sistem regenerative braking boleh dirasai dengan lebih ketara dengan mod pemanduan baharu ini, yang bukan sahaja memudahkan pemanduan dengan kawalan hanya pedal pendikit, malah turut akan memanjangkan hayat sistem brek serta lebih banyak kuasa elektrik dihasilkan kembali untuk mengecas bateri.
Sistem penyejukkan bateri juga akan berfungsi dengan lebih proaktif menerusi mod ini, dan ia akan terus berfungsi walaupun ketika kereta sedang direhatkan sebelum beraksi semula di litar.
Tesla Model 3 Performance tidak dilengkapi dengan LSD, namun menerusi Track Mode, pembahagian tork antara kiri dan kanan juga dapat dioptimakan menerusi sistem brake torque vectoring yang turut diberikan menerusi tingkat taraf perisian baharu ini.
Sebaik mana pengendalian yang ditawarkan menerusi Track Mode baharu ini? Bersama pengumuman tingkat taraf perisian ini, Tesla turut menyiarkan video bagaimana sebuah Model 3 boleh melakukan aksi drift.
Source: Read Full Article