Toyota Thailand telah mendedahkan model Camry generasi kelapan (XV70) serba baharu akan dilancarkan di negara berkenaan pada 29 Oktober ini. Ia selepas beberapa bulan sedan segmen-D itu dikesan ketika sedang diuji di sana.
Teaser yang dipaparkan menerusi laman web dan Facebook rasmi syarikat berkenaan tidak banyak memberikan perincian, kecuali dikhabarkan ia menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) sama seperti Prius dan C-HR.
Setakat ini, informasi di bawah hudnya masih kekal dirahsiakan. Kemungkinan ia dipadankan dengan enjin 2.5 liter empat-silinder (A25A-FKS) dari Toyota Dynamic Force Engine, dengan hamburan kuasa 208 PS dan tork 252 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan.
Penjana kuasa hibrid juga didatangkan untuk Camry, juga dengan Dynamic Force Engine (A25A-FXS) dengan 178 PS dan 221 Nm, bersama motor elektrik 120 PS/202 Nm, sekaligus menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 211 PS. E-motor tersebut dikuasakan oleh bateri lithium-ion/nickel-metal hydride yang ditempatkan di bawah tempat duduk belakang berbanding di but untuk pusat graviti yang lebih rendah.
Lain pilihan enjin yang ditawarkan termasuklah 2.0 liter 6AR-FSE (167 PS/199) dan 2.5 liter 2AR-FXE (160 PS/213 Nm(, yang kedua-dua enjin empat-silinder itu turut ditawarkan pada model Camry yang masih dalam pasaran di Malaysia. Selain itu, enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 dengan 305 PS dan 362 Nm yang boleh didapati dipasaran lain seperti Australia dan Amerika Syarikat, mungkin tidak ditawarkan di Thailand.
Sementara barisan enjin belum disahkan, Camry baharu ini didatangkan dengan gaya yang lebih menyerlah dengan bahagian hadapan yang lebih segar serta ruang dalaman yang juga disemak semula. Malahan, ia juga mendatangkan lebih banyak teknologi yang signifikan, termasuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dan banyak lagi.
Kita akan tahu perincian lebih lanjut mengenai Camry ini apabila ia dilancarkan di Thailand dalam masa beberapa hari lagi. Adakah ciri ini juga akan didatangkan ke Malaysia? Mana satu pilihan anda, adakah Camry baharu ini atau pesaing terdekatnya iaitu Honda Accord?
Source: Read Full Article