TUNGGANG UJI: SYM VF3i – bolehkah diambil sebagai alternatif kepada Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R?

Motosikal kapcai yang menggunakan enjin 150 cc bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ketibaan dua model terkenal seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R bagai mencetus satu fenomena bukan sahaja di Malaysia, malah juga beberapa negara lain dalam Asia Tenggara.

Ramai yang mahukan dua model ini dan ia dianggap sebagai ‘raja kapcai’, namun ada juga yang mahu mengambil alternatif lain tetapi tidak mahu mengabaikan aspek kuasa. Jadi, pandangan mereka beralih kepada sama ada Benelli RFS150i dan juga SYM VF3i.

Kalau diikutkan cadangan pengeluar, harga paling murah adalah Benelli RFS150i iaitu pada RM7,488 diikuti Y15ZR pada RM7,888, RS150R RM7,199 dan SYM VF3i RM8,238. Walaubagaimanapun, seperti yang kita semua telah sedar, harga jualan di kedai dua model jenama Jepun tersebut adalah lebih tinggi, mungkin kerana ia cukup popular dan menjadi kegilaan ramai sekaligus membuatkan banyak pengedar mahu mengambil kesempatan.

Semua model yang disebutkan tadi juga menggunakan enjin berkapasiti 150 cc, tetapi SYM VF3i menawarkan sesuatu yang lebih di mana ia dipacu oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 183 cc yang mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 8,500 rpm dan 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm.

Sememangnya, jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh VF3i ini adalah mengatasi semua model lain yang kebanyakannya berada di tahap sekitar 15 hp dan 13 Nm. Jika anda mahu melihat lebih banyak perbezaan di antara empat model ini, lihat artikel ini yang telah kami buat tidak lama selepas VF3i dilancarkan dulu.

Sebabnya, dalam artikel kali ini kami mahu menyampaikan kepada anda bagaimana rasa sebenar menunggang VF3i. Semasa pelancarannya April lalu memang ada dibuat satu sesi tunggang uji, tetapi disebabkan ia cuma boleh dibawa di kawasan letak kereta, kami setakat melakukan satu video pandangan awal.

Akhirnya minggu lepas barulah kami dapat meminjam VF3i untuk beberapa hari daripada pengedar rasminya iaitu MForce Bike Holdings Sdn Bhd. Perkara pertama yang terus dapat kami rasakan apabila bertukar motosikal daripada Yamaha LC135 V1 kepada VF3i ini adalah tempat duduknya agak condong ke hadapan dan tinggi seperti RS150R, tetapi tidaklah sehingga memerlukan penulis kami menjengket.

Melihat kepada rekaan terlebih dahulu, mungkin ada yang mengatakan VF3i ini mempunyai beberapa ciri rekaan yang menyerupai Y15ZR dan RS150R. Mungkin ya, tetapi ia sedikit sahaja dan pujian masih boleh diberikan kepada SYM kerana mampu menghasilkan bentuk keseluruhan unik tersendiri dan bukannya meniru bulat-bulat seperti yang dilakukan oleh Demak.

Banyak garis-garis tajam yang digunakan oleh SYM pada rekaan VF3i ini dan untuk lampu, semua lampu penunjuk arah, lampu siang dan lampu belakang menggunakan unit LED manakala lampu utama masih lagi menggunakan mentol biasa. Keseluruhannya ada tiga warna yang ditawarkan untuk VF3i iaitu biru, hitam dan merah.



Kami tahu, ramai yang menantikan maklum balas mengenai kuasa VF3i ini kerana ia mempunyai kapasiti enjin yang lebih besar di antara semua pesaingnya. Malah, semasa dilancarkan, MForce mendakwa ini adalah kapcai yang paling berkuasa di dunia.

Apa yang kami boleh katakan, ia memang rasa pantas, tetapi tidaklah begitu jauh bezanya. Kami tidak berpeluang untuk melakukan pecutan bersebelahan dengan Y15ZR, RS150R ataupun RFS150i, tetapi ini adalah pandangan daripada pengalaman kami menunggang semua model tersebut sebelum ini.

Maklum balas daripada enjin ini juga boleh dipuji. Ia tidak berbunyi kasar, dan beroperasi lancar tanpa banyak gegaran walaupun sudah sampai ke tahap rpm tertinggi (lebih sedikit daripada 9,000 rpm). Kemudiannya, penghasilan kuasa juga memuaskan daripada tahap rpm rendah sehinggalah tinggi. Dalam kata lain, VF3i ini tidaklah terasa ‘lemau’.

Dalam apa gear sekalipun, tarikannya terasa memuaskan, dan kehadiran gear keenam turut membantu motosikal ini untuk mencapai kelajuan lebih tinggi, maksimum sehingga 140 km/j, setakat yang kami berjaya dapatkan (gear lima hanya boleh digunakan sehingga 120 km/j). Itupun kami sudah menunduk manakala permukaan jalan pula adalah menurun bukit. Ini juga sekaligus menyangkal kenyataan dalam risalah jualan bahawa VF3i boleh mencapai kelajuan maksimum 150 km/j dalam keadaan standard.

Satu perkara yang kami kurang gemar pada VF3i adalah suspensinya terlalu keras. Ini berlaku pada kedua-dua bahagian fork teleskopik hadapan dan juga monoshock belakang. Ia cukup menyeksakan sehingga boleh buat anda menyumpah apabila berhadapan kesan tampalan atas jalan atau garisan kuning (belum lagi garisan merah), manakala apabila dinaiki dua orang, cukup teruk untuk membuatkan kami berpatah balik ke rumah untuk menukar kepada motosikal lain.

Mungkin SYM mahu mensasarkan tunggangan yang lebih berprestasi tetapi kami boleh katakan, ia tidak sesuai untuk sebuah kapcai yang mahu digunakan atas jalan biasa. Bukan pergelangan tangan dan pinggang sahaja yang terkesan dengan hentakan kuat yang dirasa, malah kepala juga boleh bergegar. Memburukkan lagi keadaan, span pada tempat duduk juga agak nipis.

Kemudiannya, kami juga tidak begitu yakin untuk mengambil selekoh dengan VF3i ini. Sebab utamanya adalah tayar Kenda bersaiz 90/80R17 dan 120/70R17 pada motosikal ini tidak memberikan cengkaman baik termasuklah waktu jalan kering. Apabila jalan basah, tak perlulah lagi kami nyatakan, memang kami ambil selekoh dalam keadaan tegak sajalah.

Daripada maklum balas ini, anda sudah tahu, jika mahu memiliki VF3i, perkara utama yang perlu ditukar adalah tayar serta suspensinya demi mendapatkan tunggangan yang lebih memuaskan, lebih selamat dan dapat menggunakan segala potensi yang ada padanya. Jika atas lebuh raya, VF3i boleh dikatakan agak stabil dan tiada gegaran yang menakutkan untuk anda mencapai tahap kelajuan maksimum yang mampu diberikan oleh enjin standardnya.



Untuk bahagian brek, sebenarnya kuasa yang dihasilkan oleh tetapan cakera 250 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 200 mm dengan angkup satu piston di belakang sudah cukup baik, tetapi sekali lagi akibat daripada tayar yang kurang baik, anda perlu berhati-hati kerana tayar mudah terkunci dan menggelungsur. Apatah lagi, ia tidak mempunyai sistem ABS.

Pada bahagian meter, susun atur yang digunakan oleh VF3i hampir menyerupai pesaingnya yang lain, dengan kadar rpm boleh dilihat pada meter analog manakala maklumat lain dipapar pada skrin LCD. Di situ anda boleh melihat kedudukan gear, tahap minyak, jam, kelajuan, jarak perjalanan dan juga tahap kuasa bateri. Walaubagaimanapun tiada lampu penunjuk waktu menukar gear (shift light) pada meter VF3i ini.

Satu lagi kelebihan VF3i adalah ia mempunyai tangki bahan api yang paling besar, hampir satu kali ganda daripada pesaingnya iaitu berkapasiti tujuh liter. Setakat yang kami gunakan dengan cara hampir setiap masa menikmati kuasa penuhnya, ia berjaya bertahan sehingga 160 km. Catatan ini tidak lari jauh daripada jarak yang diuji sendiri oleh SYM iaitu 171 km.

Seperti kebiasaan sebuah kapcai, tiada sebarang ruang simpanan pada bahagian bawah tempat duduk VF3i ini, namun anda masih mempunyai cangkuk kecil untuk mengikat helmet apabila mahu meninggalkannya secara selamat bersama motosikal.

Dengan semua maklum balas yang telah kami berikan ini, anda buatlah keputusan sendiri sama ada ingin mengambil VF3i sebagai alternatif kepada model lain ataupun tidak.

Source: Read Full Article