Volkswagen hidupkan semula 'dune buggy' sebagai EV

Nampaknya akan ada banyak berita menarik yang muncul sempena Geneva Motor Show yang bakal berlangsung nanti. Dari kem Volkswagen misalnya, nostalgia terhadap model dune buggy ikonik disekitar 1960an dan 1970an dahulu akan dihidupkan semula. Khabar angin mengatakan ia bakal menggunakan asas modular electric drive matrix (MEB), dan akan menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya.

“Sebuah buggy adalah lebih daripada sekadar sebuah kereta. Ia lebih bertenaga dan meriah. Semua ciri klasiknya akan diterjemahkan pada e-buggy pula, yang akan menampilkan interpretasi moden kepada rekaan klasik dan retro model lamanya dahulu. Sangat menarik untuk melihat keterkaitan berkenaan terhadap sebuah kenderaan elektrik moden,” jelas ketua pereka Volkswagen, Klaus Bischoff

Walaupun nadi yang menggerakkannya menggunakan teknologi maju kenderaan elektrik, rekaan luarannya pula bagaimanapun kekal klasik dune buggy seperti dulu – dengan lengkung tayar yang menonjol, dipadankan dengan tayar besar. Lampu utama bulat pula menyuntik karekter tersendiri bagi model ini – dari jauh “wajah”nya akan kelihat jelas.

Sama seperti pendekatan rekaan pada dune buggy terdahulu yang mengambil asasnya daripada model Beetle yang diringkaskan, model konsep terbaru ini pula hadir tanpa bumbung tetap serta rekaan pintu yang di luar kebiasaan.

Volkswagen memaklumkan, rekaan konsep ini bertujuan untuk mempamerkan kepelbagaian platform MEB yang digunakan – ia tidak hanya digunapakai untuk menghasilkan model-model produksi dalam jumlah yang besar, tetapi juga boleh menampung keperluan model-model unik yang jumlah pengeluarannya terhad.

Source: Read Full Article