Volkswagen T-Roc R – 300 PS, 400 Nm, pecut 4.9 saat

Ini Volkswagen T-Roc R, yang akan buat penampilan sulung di Geneva Mac ini. Yang dilihat ini menghampiri versi akhir bagi model crossover kompak yang berasaskan platform MQB oleh Volkswagen, yang pertama kali diperkenalkan pada 2017 dulu.

Model terkini Volkswagen R menggunakan enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 300 PS dan 400 Nm, sama seperti yang digunakan pada Golf R. Dipadankan dengan transmisi automatik DSG klac berkembar tujuh-kelajuan serta pacuan semua roda 4Matic, T-Roc mampu memecut dari 0-100 km/j dalam pasa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Sudah tentu, bagi model terbaru ini, ada peningkatan casis diberikan, serta pertambahan kuasa juga. T-Roc bakal hadir dengan kelengkapan berciri sport (suspensi rendah), stereng progresif dan sistem brek 17-inci – yang pernah dilihat pada Volkswagen Golf R Performance.

Mod pemanduan antaranya terdiri daripada Race Mod, serta ciri Launch Control untuk mula memecut dari keadaan pegun. ESC pula boleh dinyah-aktifkan secara manual. Menurut Volkswagen, model ini turut dibangunkan dan diuji di Nurburgring dengan sokongan tenaga pakar perlumbaan rali, Petter Solberg serta pemandu VW, Benjamin Leuchter.

Dari segi rekaan, versi R bagi model T-Roc ini menampulkan rekaan gril radiator dengan kemasan aluminim kesat di bahagian bawahnya. Rekaan bampar juga lebih agresif dengan penggunaan DRL LED melintang. Logo R pula jelas terlipat pada gril.

Di belakang juga sama; bampar sporty dengan liang aliran udara serta diffuser R dalam warna kontras. Ini dilengkapkan lagi dengan empat paip ekzos. T-Roc R menggunakan rim 18-inci “Spielberg” dengan pilihan rim 19-inci Pretoria hitam kesar (saiz tayar 235/40). Ekzos titanium Akrapovic juga ada ditawarkan sebagai pilihan.



Lain-lain kemasan khas R ialah perumah cermin sisi krom kesat, spoiler bumbung dan skid plate, lengkuk bahagian roda lebih lebar serta kaliper brek hitam dengan logo R. Warna khusus bagi model ini ialah Lapiz Blue Metallic, dengan tujuh pilihan warna lainnya. Kalau nak, bumbung boleh pilih yang warna hitam.

Di dalam, logo R menghiasi dibeberapa bahagian; kemasan door sill, kunci, penyandar kerusi dan stereng sport yang digunakan. Pada stereng juga ada dilengkapi dengan paddle shifter dengan jahitan benang kelabu. Kemasan lain termasuk material kulit Nappa, kemasan karbon pada panel sisi serta warna cat eksklusif R untuk ruang dalaman.

Sejak penghujung 2017, Volkswagen telah menjual kira-kira 200,000 unit T-Roc. Menurut syarikat itu lagi, model berkenaan menggandingkan ciri SUV dan mengadunkannya dengan sisi dinamik sebuah kereta hatcback kompak. Jadi, yang ini atau Golf R jadi pilihan?

Source: Read Full Article