Volkswagen secara rasminya telah mengumumkan pengenalan Tiguan Offroad baharu bagi pasaran terpilih, selepas dua bulan SUV bergaya ini tampil di Moscow Motor Show. Ia menyertai model biasa Tiguan dan Tiguan Allspace yang lebih besar dengan tujuh-tempat duduk, sebagai varian ketiga bagi barisan model paling laku Volkswagen di peringkat global.
Untuk luarannya, Offroad didatangkan dengan bampar hadapan dan belakang yang unik yang disambung pada skid plate dengan kemasan moulding tepi dalam rona matte Reflex Silver, dan juga kemasan krom hitam, rel bumbung dan juga perumah cermin sisi. Lencana Offroad juga ditempatkan di bahagian sisi bawah pada B-pillar.
Roda aloi Sebring 18-inci didatangkan secara standars, bersama roda Auckland dan Victoria 19-inci serta Kapstadt 20-inci sebagai pilihan dengan kos tambahan. Turut didatangkan termasuklah Sistem Pencahayaan Aktif, Bantuan Lampu Dinamik dan lampu di selekoh dinamik dengan LED.
Pelanggan juga boleh memilih antara enam warna yang ditawarkan iaitu Pure Grey, Pure White, Atlantic Blue Metallic, Indium Grey Metallic, Tungsten Silver Metallic dan Oryx White Pearl. Malahan gaya dua-tona dengan bumbung hitam juga ditawarkan menerusi pakej “Offroad Plus”” sebagai pilihan. Sekaligus warna keseluruhan yang ditawarkan ialah 12 pilihan.
Di dalamnya pula, tempat duduk balutan fabrik “Austin” dan headliner dengan kemasan hitam ditampilkan. Turut didatangkan roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit, tombol hear balutan kulit, dekorasi aluminium, pedal dan perehat kaki keluli tahan karat, dan alas lantai getah yang mudah dibersihkan.
Kini, Offroad menawarkan pilihan enjin petrol dan diesel, dengan penjana asas 2.0 TDI turbodiesel (150 PS). Dua lagi pilihan enjin termasuklah 1.4 TSI (150 PS) dan 2.0 TSI (180 PS), dan kesemua pilihan enjin digandingkan dengan DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda 4Motion sebagai standard.
Bukan sekadar gaya, Tiguan Offroad juga mampu melalui sudut sehingga 24 darjah, sekaligus berkeupayaan dalam semua laluan. Sistem pacuan semua-roda didatangkan dengan ciri Active Control, membolehkan pemandu untuk memilih antara mod Onroad, Offroad dan Snow menerusi suiz pada konsol tengah.
Lain-lain ciri termasuklah kluster instrumen digital Active Info Display, sistem navigasi Discover Pro, sistem trailer manoeuvring “Trailer Assist” dan kawalan casis adaptif DCC. Di Jerman, Tiguan Offroad ditawarkan pada harga bermula 40,925 euros (RM195k).
Source: Read Full Article