Volvo Polestar Engineered – kuasa 415 hp/670 Nm turut akan diberikan pada wagon V60 dan SUV XC60

Ketika pendedahan sedan S60 tahun lalu, Volvo turut memperkenalkan model Polestar Engineered, iaitu varian paling berkuasa dengan bekalan kuasa 415 hp dan tork maksima 670 Nm. Kini Volvo mengumumkan bahawa varian ini turut akan diberikan pada dua lagi siri 60 iaitu wagon V60 dan SUV XC60.

Model Polestar Engineered ini diasaskan dari varian T8 Twin Engine, namun enjin 2.0 liter Drive-E yang disuap dengan pengeces turbo dan supercharger serta sistem motor elektrik plug-in hybrid pada gandar belakang berkenaan mendapat talaan semula dari Polestar, membolehkannya ia menjana lebih tenaga berbanding kuasa asal 390 hp/640 Nm.

Menurut Volvo, unit janakuasa Polestar Engineered versi 2020 kelak bakal ditala semula bagi menghantar tork dengan lebih cepat dan mengoptimakan penggunaan motor elektrik pada gandar belakang.

Selain dari kuasa yang lebih besar, Polestar Engineered turut menerima peralatan prestasi lain antaranya penyerap hentak dari Öhlins, angkup brek hadapan enam-omboh dari Brembo dan juga set rim aloi forged dari Polestar.

Volvo hanya menghasilkan 20 unit S60 Polestar Engineered di Amerika tahun lalu, dan kesemuanya habis ditempah menerusi aplikasi langganan Care By Volvo dalam masa hanya 39 minit. Namun untuk versi 2020, lebih banyak unit akan dihasilkan dan ia turut boleh dibeli secara konvensional – termasuk model V60 dan XC60 – bermula musim panas tahun ini.

Source: Read Full Article