Ford Ranger masih kekal sebagai trak pikap popular dan diyakini kredibilitinya di Malaysia, malah bagi suku ketiga tahun ini, jualannya melonjak 61% berbanding tahun lalu dengan 2,245 unit berjaya dijual. Sekaligus membantu Ranger meningkatkan perkongsian pasarannya dalam segment trak pikap apabila naik 1.1% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 15.3%.
“Ranger membantu memacu mengukuhkan segmen trak pikap secara keseluruhannya. Kelasakan, keupayaan dan keselesaan Ranger terus menjadi penanda aras dalam sektor trak pikap satu tan. Ini banyak dibantu oleh kepakaran kami dalam menghasilkan trak dan kekuatan Ford di peringkat global,” kata Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, Truong Kim Phong.
Malah pada minggu lalu, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar jenama Ford telah mengesahkan, Ford Ranger facelift terbaharu akan dilancarkan di Malaysia pada hujung bulan ini. Ia akan ditawarkan dengan beberapa varian; XL, XLT, Wildtrak dan Ranger Raptor, serta satu tambahan lagi XLT+.
Untuk pasaran tempatan, Ranger akan dibarisi dengan varian 2.2L XL Manual dan Automatik, diikuti oleh 2.2L XL Manual Single Cab. Ketiga-tiga varian ini adalah dari versi 4×4 High Rider dengan enjin 2.2L TDCi VGT yang menghasilkan 160 PS dan 385 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 2,600 rpm. Selain itu, varian 2.0L XLT Manual dan Automatik turut bakal ditawarkan, dengan lebih kelengkapan. Ia menggunakan enjin 2.0 liter TDCi yang sama seperti XL, dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik 6-kelajuan.
Penawaran enjin baru pula adalah bagi varian 2.0L XLT+ Automatik 4×4 High Rider, menjadi satu-satunya varian yang bukan Wildtrak/Raptor yang menggunakan enjin baru berkenaan. Unit 2.0L Si-Turbo dengan turbo tunggal ini mampu hasilkan 180 PS dan 420 Nm tork dari 1,750 hingga 2,500 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi 10-kelajuan automatik dengan SelectShift.
Bagi memberi sokongan lebih baik kepada para pelanggan Ranger di seluruh negara, Ford dan Sime Darby Auto Connexion akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan. Ia merangkumi proses pengembangan dan naik taraf para pengedar Ford di seluruh negara.
Sejak setahun lalu, Ford dan Sime Darby Auto Connexion mengumumkan pembukaan empat kemudahan pengedar Ford yang baru dan telah dinaik taraf. Ini termasuklah Acecourt Auto Sdn Bhd (Acecourt Auto), SNS Kembara Utama Sdn Bhd (SNS Kembara), Sime Darby Auto Connexion (Kuching) dan Sime Darby Auto Connexion (Kota Kinabalu).
Source: Read Full Article