UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

Selebriti tempatan terkenal, Fattah Amin, telah diberi kepercayaan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai duta untuk Toyota C-HR. Pengumuman berkenaan telah dilakukan dalam sebuah majlis eksklusif di ibu negara pagi tadi. UMWT berkata, pelantikan Fattah sebagai duta C-HR berdasarkan populariti aktor tersebut yang kian melonjak, apatah lagi Artis Paling Popular 2017 ini pernah membarisi pelumba selebriti dalam Vios Challenge di perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) musim lalu.

Menurut Mohd Affend Hj Khairon, Pengurus Besar UMWT berkata, “Sudah tentu ramai yang sudah melihat wajah Fattah dalam beberapa pengiklanan kami sepanjang pelancaran C-HR pada awal tahun ini. Kini, kami berbesar hati mengumumkan pelantikannya sebagai duta C-HR dan kami berharap kekuatan pengaruh yang ada pada beliau dapat membantu mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai produk ini dan juga jenama ini pada umumnya.”

“Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang meneruskan kerjasama dengan Toyota selepas terlibat dengan TGR musim pertama. Pengalaman memandu Vios dalam perlumbaan tersebut memberikan saya pengalaman bermakna, di samping saya dapat mengetahui keistimewaan yang pada pada model Toyota.

“Malahan saya juga berpeluang untuk memandu C-HR selama sebulan dan mendapati enjin 1.8 liter ini mencukupi untuk pengendalian yang optimum. Bukan itu sahaja, saiz dan gayanya juga menepati citarasa saya sendiri dan ini membuatkan saya lebih teruja apabila dipilih untuk menjadi dutanya,” ujar Fattah.

C-HR yang dilancarkan pada akhir Mac lalu kini semakin mendapat perhatian ramai, malah kelibatnya juga makin banyak berada di jalan raya di Malaysia. Bagi pasaran Malaysia, hanya satu sahaja varian enjin yang ditawarkan iaitu 1.8 liter empat-silinder naturally aspirated Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

Ditawarkan pada harga RM150,000 (termasuk SST, tanpa insurans, untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung sahaja), C-HR turut menampilkan ciri keselamatan termasuk tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Source: Read Full Article