Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa prestasi jualan mereka untuk separuh pertama tahun kewangan (FY 2018) syarikat berkenaan iaitu dari April hingga September mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan. Dalam tempoh tersebut, MMM telah berjaya menghantar sejumlah 4,788 unit kenderaan kepada pelanggannya, atau 66% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu (FY 2017).
Angka jualan yang meningkat mendadak ini disumbangkan oleh dua modelnya iaitu trak pikap Mitsubishi Triton dan juga SUV segmen-C Outlander. Triton berjaya dijual sebanyak 3,120 unit manakala Outlander pula dijual sebanyak 1,345 unit. Catatan jualan untuk kedua-dua model ini juga dilihat sangat signifikant dimana peningkatannya adalah sebanyak 482% berbanding April-September FY 2017.
“Lewat tahun lalu, kami telah mengatur semula varian dalam barisan model Triton bagi memberikan keuntungan kepada pelanggan kami bukan sahaja dalam aspek pengendalian, prestasi dan keselamatan, malah turut termasuk harga yang lebih mampu milik bagi memenuhi permintaan pelanggan yang berbeza-beza. Hasil jualan yang positif ini turut disumbangkan oleh tempoh cuti cukai dari Jun-Ogos 2018,” kata CEO MMM Tomoyuki Shinnishi.
“Kami juga sukacita untuk berkongsi bahawa Triton masih lagi, satu-satunya pikap yang menawarkan waranti sehingga 200,000 km atau lima tahun. Ini bermaksud pelanggan kami boleh berjalan lebih jauh dengan lebih ketenangan fikiran,” tambahnya.
Bagi Outlander pula, pengenalan SUV berkenaan dalam versi CKD September tahun lalu – bermula dengan model 2.0 liter AWD dan model 2.4 liter AWD pada Januari 2018 – juga antara sebab mengapa SUV tersebut mencatatkan prestasi jualan yang begitu baik.
“MMM secara keseluruhan dilihat sangat positif pada masa depan. Kami berterima kasih kepada pelanggan untuk sokongan mereka terhadap jenama Mitsubishi. Untuk keyakinan dan kepuasan pelanggan terhadap produk dan servis kami, MMM komited untuk terus memberikan hanya yang terbaik,” jelas Shinnishi.
Source: Read Full Article