Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

Kerajaan akan akan memulakan langkah untuk memperhalusi sistem agihan subsidi petrol RON95 yang diumum akan dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan. Ini selaras dengan pembentangan berkaitan hal sama di dalam Belanjawan 2019 minggu lalu.

Dalam satu laporan The Star, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab melaksanakan proses itu dalam tempoh seminggu dua akan datang.

Mengagihkan wang tunai bagi mereka yang layak untuk subsidi berkenaan bukanlah satu pilihan. Kaedah lain seperti penggunaan kad juga sedang dipertimbangkan. “Sama ada ia dalam bentuk kad atau cip atau jalur magenetik, sistem berkenaan perlu murah dan selamat. Ini antara pilihan yang sedang diperhalusi. Kami kini dalam peringkat menentukan keperluannya. Sedikit masa sahaja lagi,” ujar beliau.

“Ada cadangan daripada beberapa syarikat yang bersedia untuk berkongsi kepakaran mereka. Kami tidak ada masalah untuk mengenal pasti mana-mana syarikat yang berpotensi dan bersedia untuk menjalankan tender terbuka,” tambahnya lagi. Warga Malaysia dilapor menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan, dengan RON95 menjadi pilihan utama (90%) berbanding RON97 (10%).

“Bayangkan berapa perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan untuk memberi subsidi RON 95?” tanya Saifuddin, dan menjelaskan sekiranya sistem yang akan diguna pakai nanti berkesan dan cekap, ia akan dipertimbangkan untuk agihan subsidi barangan lain juga.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan subsidi minyak selepas ini akan disasarkan kepada kelompok B40 (gaji kurang RM3,000 sebulan) dan mekanisma agihan skim berkenaan akan ditentukan bagi mengelak salah guna. Turut diumumkan ialah pemilik yang mempunyai beberapa kenderaan serta pemilik kereta mewah tidak layak untuk menerima subsidi.

Skim ini akan menawarkan subsidi sebanyak 30 sen seliter bagi 100 liter sebulan, bagi kereta dengan kapasiti 1,500 cc ke bawah. Bagi motosikal di bawah 125 cc pula, kadar subsidi juga sama, tetapi hanya bagi 40 liter sebulan.

Related Cars for Sale on









Source: Read Full Article