Mercedes-AMG G63 2019 dilancarkan di Malaysia – 4.0 liter V8 Bi-turbo, 585 hp/850 Nm, harga dari RM1.5 juta

Selepas pengenalan model C-Class terbaru minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan pula barisan SUV prestasi tinggi siri AMG 63 untuk pasaran tempatan. Selain model Mercedes-AMG GLC 63 dan GLC 63 Coupe, model Mercedes-AMG G 63 2019 menjadi antara yang paling menarik untuk diperhatikan.

Dijual pada harga RM1,464,888, model ini dilengkapi dengan enjin 4.0L V8 Biturbo petrol dengan janaan sebanyak 585 hp dan 850 Nm tork (dari 2,000 rpm hingga 3,000 rpm), SUV ikonik ini dipadankan pula dengan sistem transmisi AMG Speedshift TCT 9G. Ini menjadikan prestasi pecutan 0-100 km/j model ini dicapai dalam masa 4.5 saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 220 km/j (240 km/j dengan Driver’s Package).

Berbanding model sebelumnya, kerangka model ini 55% lebih kukuh, dengan berat berkurangan sebanyak 170 kg. Bagaimanapun, dimensinya bertambah; 101 lebih panjang, 121 mm lebih lebar dan 40 mm lebih tinggi. Hasil daripaada peningkatan ini, ruang lutut penumpang belakang kini bertambah 150 mm.

Dari aspek luaran, SUV ini menggunakan lampu utama dengan teknologi Multibeam LED serta tingkat kemasan AMG Night Package Edition 1. Ia hadir bersama rim 22-inci AMG, grafik badan khusus serta brek kaliper AMG merah. Sunroof boleh buka yang ada turut menyuntik unsur mewah untuk SUV ini.

Ruang kabin menerima lebih banyak perincian khusus AMG, seperti kemasan gentian karbon warna merah serta stereng AMG balutan kulit Nappa. Material kulit ini juga digunakan untuk membaluti tempat duduk, dengan benang merah (dengan tali keledar merah) menyerlahkan lagi sisi agresif dan kelainan yang ditawarkan.

Selain ciri lampu suasana dengan 64 pilihan warna yang sinonim dengan kenderaan Mercedes-Benz, pelapik bawah pintu (door sill) juga khas AMG, diperbuat dari material tahan karat. Lain-lain ciri yang turut melengkapi model ini ialah kawalan pendingin hawa Thermotronic automatik serta pemanas kerusi.

Sudut kejituan pemanduan ditawarkan peningkatan melalui kelengkapan ciri seperti AMG Dynamic Select, AMG Ride Control dengan penyerap hentak adaptif. Pacuan empat roda 4Matic pada SUV ini turut hadir dengan pengunci differential lock 100%. G 63 turut dilengkai sistem ekzos AMG Performance untuk melengkapi penawaran dari sudut prestasinya.

Sistem multimedia model ini terdiri daripada COMAND Online, skrin off-road, paparan maklumat pemanduan pada kluster meter digital yang lebar serta pad sentuh. Sistem bunyi adalah dari sistem Burmester Surround Sound.

Antara ciri-ciri keselamatan utama yang hadir bersama ialah pakej Driving Assistance serta sistem PRE-SAFE. Ini termasuk ciri seperti kamera 360-darjah, bantuan titik buta, bantuan jarak Distronic aktif, bantuan pengekalan lorong aktif, bantuan brek aktif, bantuan parkir Parktronic, beg udara sisi penumpang belakang serta lampu brek adaptif. Sistem masukan tanpa kunci adalah standard.

Source: Read Full Article