MotoGP Sepang 2018 – pelbagai aksi tidak dijangka

Acara paling besar dan meriah di Litar Antarabangsa Sepang iaitu MotoGP 2018 baru sahaja melabuhkan tirai dan kali ini ia menyaksikan pelbagai kejadian menarik bermula dari pusingan kelayakan lagi. Sudah tentu sebagai tuan rumah, fokus rakyat Malaysia lebih kepada pelumba tempatan yang terlibat.

Semasa hari pusingan kelayakan berlangsung, Adam Norrodin yang bersaing dalam kategori Moto3 melalui pasukan Petronas Sprinta Racing mencatat masa yang baik tetapi dikenakan penalti kerana tunggangan yang dikatakan merbahaya. Disebabkan itu, beliau terpaksa memulakan perlumbaan dari laluan pit.

Itu tidak melunturkan semangat Adam kerana pada hari perlumbaan, beliau menunjukkan prestasi yang lebih baik, sehingga pada satu masa, beliau berada di kedudukan ketujuh. Walaubagaimanapun, beliau terjatuh dengan baki hanya beberapa pusingan sahaja lagi dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ke-23. Rakan sepasukan beliau, Ayumu Sasaki di tempat ke-18.

Pergi kepada kategori Moto2, tumpuan diberikan lebih kepada pelumba pasukan Sky Racing Team VR46 iaitu Francesco Bagnaia kerana beliau berpeluang dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini di Sepang. Apabila perlumbaan berakhir, adik Valentino Rossi iaitu Luca Marini yang mencuri tumpuan kerana memenangi tempat pertama dan ini adalah kali pertama beliau mendapat kedudukan juara dalam perlumbaan Moto2.

Bagnaia turut berada atas podium, iaitu di tempat ketiga dan dengan mata yang dikumpul, ia sudah mampu mengatasi semua pelumba lain walaupun masih ada baki pusingan di Valencia. Khairul Idham Pawi yang berlumba untuk pasukan Idemitsu Honda Team Asia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-17.

Kategori utama MotoGP juga pastinya melibatkan pelbagai aksi dan drama. Pusingan kelayakan berlangsung dalam keadaan basah dan waktu ia berlangsung, penganjur terpaksa memberhentikan sesi kerana hujan yang terlalu lebat. Kesudahannya apabila sesi kelayakan ini berakhir, Marc Marquez mencatat masa terpantas diikuti oleh dua pelumba Yamaha iaitu Johann Zarco dan Valentino Rossi. Walaupun begitu, Marquez dikenakan penalti dan memulakan perlumbaan di petak ketujuh.

Hafizh Syahrin bukan sahaja mendapat perhatian peminat tempatan, malah seluruh dunia kerana ini adalah kali pertama beliau menunggang motosikal MotoGP di Litar Sepang dalam keadaan basah. Tetapi, beliau bukan sahaja gagal mendapatkan tempat yang baik, malah berada di tempat terakhir.

Walaupun begitu, hari perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik memihak kepada Hafizh kerana dalam pusingan awal sahaja beliau sudah berjaya memotong banyak pelumba lain sehingga berada di kedudukan ke-11. Marquez juga terus memecut sehingga berada di kelompok hadapan bersama Rossi dan Zarco.

Sedang perlumbaan hampir tamat dengan beberapa pusingan sahaja lagi dan kelihatan seperti Rossi akan memenangi perlumbaan, beliau telah terjatuh di selekoh pertama Sepang seterusnya memberikan Marquez peluang mudah memintas. Zarco pula mengalami sedikit masalah dengan cengkaman dan sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas Alex Rins dari pasukan Suzuki Ecstar.

Hafizh juga menunjukkan aksi perlumbaan yang baik dan menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh. Ada beberapa ketika beliau bersaing sengit dengan Danilo Petrucci tetapi jarak di antara dua pelumba ini semakin jauh di hujung perlumbaan. Bagi rakyat Malaysia, ini sudah merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.

Selain daripada tiga kategori perlumbaan ini, seorang lagi pelumba berpengalaman Malaysia iaitu Zulfahmi Khairuddin telah diberikan peluang istimewa untuk melakukan pusingan demonstrasi menggunakan motosikal elektrik MotoE di Sepang. Daripada pengalaman kami berada di sana, motosikal ini memang nampak pantas dan menghasilkan bunyi unik yang boleh disedari.

Kami ke Litar Sepang untuk hari perlumbaan ini bersama konvoi Givi, yang bermula dari Muzium Negara dan melibatkan peserta pelbagai jenis motosikal yang datang dari seluruh negara. Disebabkan perlumbaan yang diawalkan dua jam kerana bimbang hujan, konvoi ini turut berlepas seawal jam 8.30 pagi untuk memastikan semua orang dapat menikmati perlumbaan.

Melalui konvoi Givi ini, peserta cuma perlu membayar RM200 dan mereka diberikan dengan tiket Main Grandstand, tempat letak motosikal khas, baju peserta, baucar diskaun barangan Givi, beg pinggang kalis air serta minyak hitam dari Castrol. Dari pandangan kami, untuk orang awam ini adalah satu pakej yang mudah dan cukup berbaloi bagi mereka yang mahu pergi ke Litar Sepang menyaksikan perlumbaan MotoGP.

Source: Read Full Article