Mercedes-Benz E-Class W213 sudahpun berada sekitar dua tahun dalam pasaran, dan tidak lama lagi pastinya versi yang disegarkan semula akan diperkenalkan. Model berkenaan nampaknya sudahpun mula diuji, dan jurugambar intipan kami di Stuttgart, Jerman telah pun berjaya menangkap imej-imej awalannya
E-Class facelift tersebut nampaknya akan diberikan muka baharu dengan konsep rekaan hampir sama dengan A-Class generasi baharu – menampilkan lampu hadapan yang tirus dengan lampu nyalaan siang seperti anak panah, bersama gril radiator berbentuk trapezoid.
Bahagian belakang model prototaip ujian ini pula nampaknya masih mengenakan penyamaran yang berat, menyukarkan untuk kita mengagak apa disebaliknya. Berkemungkinan ia akan menerima bampar yang dirombak, bersama lampu belakang LED dengan grafik yang direka semula.
Untuk bahagian dalaman, setakat ini E-Class telah pun menerima berberapa perubahan kecil dengan ciri-ciri dari C-Class facelift seperti roda stereng yang direka semula dan juga kemaskini pada sistem infotainmen. Manakala sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) seperti pada A-Class generasi baharu tidak akan diberikan pada model ini kerana ia akan melibatkan perubahan keseluruhan sistem pendawaian.
Barisan enjin juga dijangka kekal pada model facelift tersebut. Buat masa ini E-Class dijana enjin 2.0 liter turbo petrol berkuasa 299 hp pada model E 350 dan juga enjin-enjin 2.0 liter turbo diesel berkuasa 150 hp pada E 200 d, 194 hp pada E 220 d dan 245 hp pada E 300 d. Model turbodiesel lebih bertenaga ditawarkan pada versi E 350 d berkuasa 286 hp dan E 400 d berkuasa 340 hp – kedua-duanya diberikan enjin enam silinder 3.0 liter.
Model lebih mesra alam E 300 e berkuasa 320 hp dan E 300 de berkuasa 306 hp ditawarkan dengan sistem hibrid plug-in, di mana kedua-duanya mampu untuk bergerak sejauh 50 km dengan menggunakan hanya kuasa elektrik. Versi berprestasi tinggi juga dijangka tidak berubah dengan AMG E 53 menerima enjin 3.0 liter turbo berkembar enam-silinder menjana 435 hp/520 Nm, dan AMG E 63 dikuaskan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar menghasilkan 571 hp/750 Nm (612 hp/850 Nm untuk E 63 S).
Source: Read Full Article