SPYSHOT: Proton Persona facelift guna gril mirip X70?

Nampaknya bukan setakat Proton Iriz yang sedang dipersiap untuk muncul dengan penampilan terbaru. Kereta sedan Proton Persona juga bakal menerima kemaskini yang lebih segar, dan sudah dilihat sedang diuji, seperti yang dikongsikan seorang pembaca, Faiz Suparman ini.

Dalam foto yang sempat dirakam, Proton Persona berkenaan dilihat mengenakan pelekat samaran pada bahagian depan dan belakang. Dan, seperti yang dapat dilihat, gril serta bahagian bawah bampar akan menerima rekaan baru; ruang dan lampu utama dikekalkan seperti sebelumnya.

Rekaan gril juga banyak berubah, daripada jalur yang merentangi antara dua hujung ke bahagian lampu, gril baru ini menerapkan rekaan bentuk V yang terbahagi antara dua sisinya. Kemasan perincian pada gril ini juga kalau diperhatikan adalah sama seperti corak “Infinite Weave” yang ada pada SUV X70.

Perhatikan juga bahawa gril yang terlihat pada model Persona ini sebenarnya agak berlainan dari rekaan gril yang pernah dilihat pada Proton Iriz dengan samaran sebelum ini. Persona ini mempunyai satu lagi elemen jalur krom di atas lampu yang bersambung ke bahagian grilnya.

Susunan elemen pada bahagian bawah bampar pada Persona dengan samaran ini nampak lebih konvensional berbanding model sedia ada. Bukaan utama padanya kelihatan dikecilkan, mungkin bersambung dengan bahagian masukan udara, yang nampak lebih besar. DRL LED juga boleh dilihat, menjadi tambahan terbaru di situ.

Apa yang boleh dicadangkan oleh pembaharuan yang dapat dilihat ini? Kemungkinannya adalah, Persona akan tampil dengan imej yang lebih bersahaja sebagai sebuah sedan – terutama dari wajah depannya – sementara Iriz pula akan menjadi model dengan imej yang lebih sporty, sesuai dengan rekabentuk hatchback dan keperluan dalam segmen B yang dihuninya. Rim Persona ini pula mempunyai lapan jejari, manakala Iriz pula 10 jejari.


Di belakang, model dengan samaran ini kekal dengan rekaan lampu yang sama, spoiler kecil serta kemasan melintang yang menghubungkan lampu di dua sisinya. Kedudukan lampu kabus dan reflektor pada model sedia ada juga berada pada kedudukan yang setara, namun tidak lagi pada model samaran ini.

Persona yang ada dalam pasaran ketika ini telah dilancarkan pada 2016, kira-kira dua tahun setengah usianya ketika ini. Sesuai untuk diberikan facelift, memandangkan beberapa model pesaingnya seperti Honda City sudah diberi penampilan baru pada 2017. Toyota Vios baru pula akan masuk pasaran tak lama lagi, jadi kita boleh jangkakan Persona facelift ini akan diperkenalkan dalam masa yang tak berapa lama lagi.

Source: Read Full Article