BMW lanjut kerjasama dengan Brilliance Automotive di China – pegangan saham meningkat sebanyak 75%

BMW telah mengumumkan bakal meningkatkan pegangan saham menerusi hasil kerjasama di China dengan Brilliance Automotive dalam perjanjian yang menyaksikan pengambilalihan kuasa terhadap BMW Brilliance Automotive (BBA). Perjanjian ini yang dijangka lengkap pada 2022 apabila China menggariskan peraturan untuk mengehadkan pemilikan asing, turut menyaksikan saham BMW meningkat dari 50% hingga 75%.

Kontrak lanjutan bagi kerjasama ini sah untuk 22 tahun, dari 2018 hingga 2040. Sebahagian daripada perjanjian ini, pengeluar automotif Jerman ini dijangka akan melabur melebihi tiga bilion euro untuk membangun dan menaiktaraf operasi kilang sedia ada di Shenyang menjelang beberapa tahun akan datang.

Tahun lalu, kilang BBA di Tiexi dan Dadong telah memproduksi hampir 400,000 kenderaan. Di Tiexi, kilang baharu di tapak kilang sedia ada akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran. Sementara langkah pembentukan semula dan pengembangan yang meluas di kilang di Dadong dijangka akan dilaksanakan. Jumlah kapasiti pengeluaran untuk kedua-dua kilang berkedaan dijangka meningkat ke 650,000 unit dari awal tahun 2020, sekaligus menghasilkan 5,000 peluang pekerjaan baharu.

Buat masa ini, enam model BMW diproduksi di kilang Shenyang – Tiexi pula membangunkan sedan 1 Series, 2 Series Active Tourer, dan sedan 3 Series serta X1, sementara kilang pemasangan di Dadong pula memasang 5 Series dan X3, malah mulai 2020, kenderaan elektrik sepenuhnya iX3 turut akan dipasang di sana. Dadong akan menjadi lokasi produksi iX3, di mana kereta berkenaan akan dieksport ke pasaran global

Langkah yang diambil oleh BMW bagi meningkatkan lagi skop di China bukanlah suatu kejutan – negara ini mempunyai pasaran tunggal global terbesar. Tahun lalu, sebanyak 560,000 BMW terjual di sana, melebihi gabungan jualan di Jerman dan USA, dengan dua per tiga daripadanya diproduksi oleh BBA di Tiexi dan Dadong.

Sebagai tambahan bagi dua kilang kenderaan sedia ada, BBA juga membuka kilang bateri sendiri di Tiexi beberapa tahun yang lalu dan juga bakal memperluaskan penguaran, termasuk menghasilkan bateri yang lebih berkuasa dengan teknologi elektrik lima-generasi untuk iX3.

Source: Read Full Article